Monday, November 2

Belajar daripada kegagalan

KEGAGALAN SEBAGAI SATU PILIHAN

Sebagai seorang usahawan, mereka tidak akan lari daripada menghadapi risiko kegagalan dalam perniagaan. Bagi seorang usahawan yang mempunyai fikiran yang terbuka dan bermotivasi, mereka akan menganggap kegagalan yang dihadapi dalam perniagaan adalah sebagai satu cabaran untuk terus maju dan berjaya dalam perniagaan tersebut. Ini bermakna mereka akan belajar daripada kegagalan yang dihadapi dengan membuat perubahan dan sentiasa berusaha untuk mengelakkan kegagalan yang sama berulang.  Usahawan yang pernah menemui kegagalan juga akan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri.
Kegagalan ini dikatakan sebagai suatu risiko yang akan dihadapi oleh usahawan untuk berjaya.
Contohnya, Datuk Yusuf Taiyoob yang menjadi jutawan kurma di Malaysia turut mempunyai jatuh bangunnya sendiri sebelum mencapai kedudukan sekarang ini.
Datuk Yusuf Taiyoob, pemilik syarikat kurma dan makanan berpangkalan di Pulau Pinang itu pernah muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut kerana berdepan tekanan apabila perniagaan pertamanya, penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal. Ketika itu, usianya baru 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga pemakanan sehingga pada satu malam beliau dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar.
Selain itu, banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum mencapai tahap sekarang. Katanya, beliau pernah dihalau dan produknya dicampak begitu saja tanpa dilihat terlebih dulu. Namun, cabaran yang dihadapi itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, malah selepas peristiwa muntah darah  beliau terus mencari peluang untuk membuka perniagaan baru di lokasi lain. .
Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi memberi kesan terhadap usahanya menjadi seorang usahawan berjaya. Namun, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan yang lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan. Tanpa beliau sedari, ketabahannya itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal buah kurma dan makanan untuk pasaran tempatan serta negara jiran termasukSingapura, Indonesia, dan Thailand. Kini, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Sebagai seorang yang bergelar usahawan mereka akan melalui saat-saat yang memerlukan mereka untuk memperbaiki kesilapan yang dibuat dengan memperbaharui idea-idea dalam memajukan perniagaan. Belajar daripada kegagalan bermaksud mereka akan mengalami peristiwa ataupun keadaan yang merugikan mereka dalam perniagaan andai kata mereka tersilap langkah. Kegagalan juga membawa maksud situasi-situasi cemas yang memerlukan tindakan bijak untuk meneutralkan keadaan dalam perniagaan. Jika kegagalan terjadi, mereka sentiasa mencari solusi bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.